MEREKA kemudian menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Saleh kepada mereka: “Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang demikian itu ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan.” (Hud: 65)
KAUM Tsamud pernah meminta Nabi Saleh membuktikan kenabiannya. Nabi Saleh disuruh mengeluarkan seekor unta betina dari sebuah batu besar. Setelah baginda bersolat dan berdoa, Allah telah mengkabulkan doanya lalu keluarlah seekor unta betina dari dalam batu tersebut.
Akan tetapi kaum Tsamud tidak menyedari bahawa kewujudan unta itu adalah sebagai satu ujian kepada mereka. Allah ingin menguji tahap keimanan mereka. Mereka telah diberi amaran oleh Nabi Saleh supaya tidak mengganggu unta tersebut.
Jika mereka mengingkarinya, maka azab Allah akan menimpa mereka. Allah telah berfirman dalam surah al-Qamar ayat 27 mengenai unta yang dihantar sebagai ujian itu.
Sesungguhnya, Kami menghantarkan unta begini (yang menjadi mukjizat) sebagai satu
ujian bagi mereka. Lalu (Kami perintahkan rasul kami): Tunggulah (apakah tindakan yang akan dilakukan mereka) serta bersabarlah (akan tentangan mereka).
Setelah kaum Tsamud melihat sendiri mukjizat itu, sesetengah daripada mereka mematuhi arahan tersebut. Walau bagaimanapun, ada juga yang enggan mematuhinya. Mereka tidak suka ternakan mereka bergilir-gilir minum air dengan unta Nabi Saleh. Mereka tidak ikhlas untuk berkongsi sumber minuman tersebut. Setiap hari pasti ada aduan yang dibuat terhadap unta Nabi Saleh. Mereka sentiasa berusaha mencari jalan supaya unta itu dapat diusir dari kawasan mereka.
Pada suatu hari para pemimpin kaum Tsamud telah bermesyuarat. Dalam mesyuarat itu, mereka telah sepakat untuk membunuh unta Nabi Saleh. Mereka menanggap amaran itu sebagai satu ugutan semata-mata.
Berita tentang rancangan untuk membunuh unta Nabi Saleh telah disambut baik oleh kebanyakan kaum Tsamud. Bukan itu sahaja, mereka juga merancang untuk membunuh Nabi Saleh.
Terdapat sembilan orang yang bertanggungjawab dalam pembunuhan unta Nabi Saleh itu. Dua orang daripada mereka bernama Qadar bin Salaf dan Mushra bin Muhraj. Kesemua sembilan lelaki itu diceritakan dalam al-Quran sebagai orang yang suka melakukan kerosakan di muka bumi.
Kemudian mereka beramai-ramai pergi mencari unta itu. Setelah ditemui, Mushra telah melontar lembing dan terkena kaki unta itu lalu ia rebah. Qadar pula menyembelih unta itu menggunakan pedangnya. Mereka langsung tidak takut akan azab Allah. Bahkan mereka mencabar Nabi Saleh agar Allah menurunkan azab seperti yang dijanjikan.
“Wahai Saleh! Datangkanlah azab yang telah kamu janjikan kepada kami sekiranya kamu benar-benar utusan Allah.”
Begitulah sombongnya kaum Tsamud. Mereka bersuka-ria kerana berjaya membunuh unta Nabi Saleh.
Sedangkan Nabi Saleh amat berdukacita mengenangkan bala yang bakal menimpa kaumnya. Nabi Saleh berkata kepada mereka:
“Bersuka-rialah kamu sekalian selama tiga hari sebelum bala menimpa kamu.”
Sebelum sempat mereka melaksanakan rancangan untuk membunuh Nabi Saleh, Allah telah menghantar batu-batu yang menghujani mereka. Wajah mereka mula berubah menjadi kekuningan. Peristiwa tersebut berlaku pada hari Khamis.
Pada waktu itu pengikut-pengikut Nabi Saleh yang telah beriman naik ke atas gunung untuk mengelak daripada ditimpa bencana. Apabila semua pengikutnya berada di puncak gunung, tiba-tiba gunung tersebut menjadi tinggi hingga mencecah awan. Tidak seekor burung pun dapat terbang ke puncaknya.
Masuk hari kedua iaitu hari Jumaat, wajah kaum Tsamud yang tidak mahu mengikut Nabi Saleh berubah menjadi merah. Hari pertama dan kedua itu dianggap hari kematian bagi mereka. Manakala pada hari ketiga iaitu hari Sabtu pula merupakan hari untuk bersuka-ria kerana hari kematian mereka telah berlalu. Akan tetapi pada hari tersebut, wajah mereka telah menjadi hitam.
Pada hari tersebut, kaum Tsamud masih menunggu bala yang dijanjikan. Tiba-tiba terdengar satu dentuman yang menakutkan dari langit, disertai dengan gempa bumi yang cukup kuat. Dalam sekelip mata mereka menjadi mayat. Tiada seorang pun yang terselamat daripada azab Allah itu kecuali mereka yang beriman kepada-Nya.
Begitulah Allah menimpakan bala ke atas kaum Tsamud yang angkuh dan sombong. Sesungguhnya Allah tidak pernah mendustai apa yang telah dijanjikan.
- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd
Pengajaran
* Umat yang ingkar kepada Allah s.w.t. akan mendapat balasan atas segala perbuatannya.
* Sebagai makhluk ciptaan Allah, kita hendaklah menghindarkan diri daripada melakukan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran-Nya.
No comments:
Post a Comment