Sunday, October 3, 2010

JALUT DAN THALUT - Episod 2

Pada suatu hari, Thalut memanggil nabi daud untuk menghadapnya.Thalut memerintahkan Daud membawa pasukannya untuk menentang tentera Kanan yang menyerang negeri mereka. Selagi mana mereka tidak Berjaya mengalahkan tentera Kanan tersebut, mereka dilarang untuk kembali. Daud merasa, bahawa perintah ini sangat berbeza dengan perintah- perintah yang biasa, Mungkin ini suatu cara untuk melenyapkan dia dari permukaan bumi ini. Tetapi sungguhpun begitu, kewajipannya sebagai tentera, hanya mentaati dan menjalankan perintah yang sudah dikeluarkan oleh jeneral dan rajanya sendiri.

Setelah beberapa lama, Daud merasakan perubahan yang mendadak terjadi kepada Thalut. Nabi Daud merasakan Thalut semakin dingin kepadanya. Tetapi, Daud hanya mendiamkan hal tersebut.


Dengan tentera yang terbatas, Daud berangkat kemedan perang menghadapi musuh yang besar itu. Dengan pertolongan Allah, dia menang dalam peperangan itu. Kemenangan yang sangat besar ertinya ini, bukan menambah penghargaan Talut terhadap Daud, tetapi menambahkan perasaan cemburu dan bencinya.


Kerana nafsu yang di bakar oleh hasutan syaitan,Talut mencari jalan untuk menghapuskan Nabi Daud, Dia membuat keputusan untuk membunuh Daud dengan tanngannya sendiri. Nabi Daud tiada pilihan lain, akhirnya baginda memutuskan untuk melarikan diri. Pemergian Nabi Daud menggemparkan seluruh Bangsa Israel. Orang yang sayang dan berpihak kepada Nabi Daud mengikuti baginda. Pada mulanya, hanya sedikit sahaja yang mengikuti baginda, tetapi semakin lama jumlah pengikut baginda semakin ramai.


Kedudukan Talut semakin lemah dan goyah, Thalut tiada pilihan lain,selain segera menyerang Daud. Rencananya ini diketahui oleh Daud. Daud bersiap dan tetap menjaga kesabaran dan keimanan dalam dadanya. Allah telah berfirman dalam Surah Sod: 26,
Maksudnya:
“ Hai Daud, Sesungguhnya kami menjadikan kamu khalifah
(penguasa) di muka bumi, Maka berilah Keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, Karena ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat darin jalan Allah akan mendapat azab yang berat, Karena mereka melupakan hari perhitungan.”


Akhirnya tentera Nabi Daud berhadapan dengan tentera Talut. Melalui seorang utusan, Nabi Daud mengetahui kedudukan Thalut. Sewaktu Thalut dan tenteranya sedang berehat, Nabi Daud menyusup masuk ke dalam khemah Thalut dan baginda mengambil lembing Thalut. Baginda tidak membunuh Thalut, tetapi hanya mengambil lembing tersebut.
Ketika terjaga dari tidur, alangkah terperanjatnya Thalut apabila mendapati lembingya telah hilang. Dia memarahi tenteranya dan bertanyakan kepada mereka di mana lembingnya.


Dalam keadaan kacau tersebut, tiba-tiba muncul seorang utusan yang membawa lembing Thalut yang hilang itu. Dia berkata kepada Thalut di hadapan kaum dan tenteranya
“ Saya ialah utusan Nabi Daud untuk mengembalikan lembing ini kepada mu, lembing ini diambil oleh Daud ketika dia datang ke mari sewaktu kamu sedang tidur. Dia tidak bermaksud untuk membunuhmu, dia hanya mengambil lembing ini dengan harapan apabila dia mengembalikan lembing ini kepadamu, akan kembalilah keinsafan dan kesedaran kamu atas segala kekhilafan tindakanmu selama ini”.


Kata-kata utusan Nabi Daud itu meninggalkan kesan yang mendalam di dalam hati Thalut. Air mata penyesalannya mengalir. Dia merasa amat kesal dengan segala tindakannya selama ini. Timbul kekesalan dihatinya kerana mengkhianati Daud yang merupakan menantunya dan sangat banyak berjasa kepadanya. Dia merasa insaf atas keterlanjurannya mengikuti hawa nafsunya.



Akhirnya, tampuk pemerintahan diserahkan kepada Nabi Daud. Di bawah pemerintahan Daud, Kerajaan Bani Israel pesat membangun, aman dan makmur dengan rakyat yang bertakwa kepada Allah.


Pengajaran dari kisah ini:


1. Kita mestilah bijak dalam memilih pemimpin. Pemimpin yang dilantik mestilah bertakwa kepada Allah. Dia mestilah bijak dalam menyelesaikan segala masalah di samping mempunyai budi dan hati yang suci.

2. Kita mestilah sentiasa memohon pertolongan kepada Allah. Allah akan sentiasa membantu hamba-hambanya yang beramal soleh.


3. Sebagai pemimpin kita hendaklah bijak agar dapat membentuk masyarakat yang bersatu padu.

4. Jauhi sikap cemburu buta dan sentiasa bersikap rasional. Kita mestilah sentiasa memaafi kesalahan orang lain, Ini akan menjadikan kita seorang yang berhemah tinggi dan memiliki iman yang mantap.

sama2 kita ambil iktibar daripada kisah ini.. kualiti mgatasi kuantiti..wallahua'lam