Showing posts with label Serikandi Syurga. Show all posts
Showing posts with label Serikandi Syurga. Show all posts

Monday, March 14, 2011

Wanita Syurga Idaman Hati


Isteri-isteri kaum Mukminin yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya tersebut akan tetap menjadi pendamping suaminya kelak di Syurga dan akan memperoleh kenikmatan yang sama dengan yang diperoleh penduduk Surga lainnya, tentunya sesuai dengan amalnya selama di dunia.

Di antara ciri-ciri wanita ahli Surga adalah :

01Bertakwa

02Beriman kepada Allah, Malaikat-Nya, Kitab-Nya, Rasul-Rasul-Nya, hari kiamat, dan takdir yang baik dan buruk

03Bersaksi bahawa tiada ilah yang berhak disembah kecuali Allah, dan Muhammad adalah hamba dan Rasul-Nya, mendirikan shalat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadlan, dan naik haji bagi yang mampu

04Ihsan, yaitu beribadah kepada Allah seakan-akan melihat Allah dan dia mengetahui bahwa Allah melihat dirinya.

05Ikhlas beribadah kerana Allah, tawakkal, mencintai Allah dan Rasul-Nya, takut terhadap azab Allah, mengharap rahmat Allah, bertaubat kepada-Nya, dan bersabar atas segala takdir-takdir Allah serta mensyukuri segala kenikmatan yang diberikan kepadanya.

06Gemar membaca Al Qur'an dan berusaha memahaminya, berzikir mengingat Allah ketika sendirian atau tidak dan berdoa kepada Allah semata

07Menghidupkan amar ma'ruf dan nahi mungkar pada keluarga dan masyarakat.

08Berbuat baik (ihsan) kepada tetangga, anak yatim, fakir miskin, dan seluruh makhluk, serta berbuat baik terhadap haiwan ternak yang dia miliki

09Menyambung tali persaudaraan terhadap orang yang memutuskannya, memberi kepada orang, menahan pemberian kepada dirinya, dan memaafkan orang yang menzaliminya.

10Berinfak, baik ketika lapang maupun dalam keadaan sempit, menahan amarah dan memaafkan manusia

11Adil dalam segala perkara terhadap seluruh makhluk

12Menjaga lisannya dari perkataan dusta, saksi palsu dan menceritakan kejelekan orang lain (ghibah)

13Menepati janji dan amanah yang diberikan kepadanya.

14Berbakti kepada kedua orang tua

15Menyambung silaturahmi dengan karib kerabatnya, sahabat terdekat dan terjauh

Demikian beberapa ciri-ciri wanita Ahli Syurga yang kami sadur dari kitab Majmu' Fatawa karya Syaikhul Islam Ibnu Tamiyyah juz 11 halaman 422-423. Ciri-ciri tersebut bukan merupakan suatu batasan tetapi ciri-ciri wanita Ahli Syurga seluruhnya masuk dalam kerangka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

" ... dan barangsiapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, niscaya Allah memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah kemenangan yang besar." (An Nisa' : 13)

Tuesday, December 21, 2010

Asma' Dzatun Nithaqain

Salamullah aleikum jami'an..

usai kelas b.arab dgn Ust Lutfi semalam, rasa terpanggil utk bkongsi sirah ini bersama teman2.. (^_^).. satu pesanan drp ust. Lutfi "BERBORAK TTG HAL DUNIA SAMPAI BILA2 PUN X ABIS".. ayat yg sgt berbekas di hati. sama2 muhasabah diri ye teman2..

selamat membaca!!



Asma' binti Abu Bakar As-siddiq; saudara kepada Aisyah Ummul Mukminin (isteri Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam); puteri kepada sahabat Rasulullah yang mulia, Saidina Abu Bakar As-siddiq; isteri Zubair bin Awwam, pejuang dan tokoh Islam yang mengutamakan redha Allah di dalam perjuangannya; Merupakan seorang wanita muhajir yang mulia dan bonda kepada Abdullah bin Zubair, salah seorang pejuang yang gugur mempertahankan agamanya; dan sesungguhnya kedudukannya ini cukup untuk mengangkat darjat beliau ke tempat yang tinggi, mulia dan terpuji. Peribadinya dirahmati Allah dengan keistimewaan yang sangat menonjol, setanding dengan para Muslimin di ketika itu; cerdas, cerdik, lincah, pemurah dan berani.


Kedermawanan beliau dapat dilihat jelas melalui ucapan anaknya," Aku belum pernah melihat wanita yang sangat pemurah melebihi ibuku termasuk Aisyah Radhiallahu anha. Beliau (Aisyah) mengumpulkan apa yang diperolehinya sedikit demi sedikit, lantas setelah itu barulah dinafkahkannya kepada mereka yang memerlukannya. Sedangkan ibuku, dia tidak pernah menyimpan sedikit pun sehingga hari esok"


Kebijaksanaan Dzatun Nithaqain

Kecemerlangan berfikir Asma Radhiallahu anha terpancar dari sikapnya yang penuh prihatin dan perhitungan yang bijaksana. Peristiwa Hijrah Abu Bakar menyaksikan pengorbanan seorang sahabat demi Islam, tidak meninggalkan sesen pun harta untuk keluarganya melainkan dibelanjakan keseluruhannya untuk Allah dan rasulNya.

Ketika Abu Quhafah (ayah kepada Abu Bakar radhiallahu anhu) yang masih musyrik menemui keluarganya, beliau berkata kepada Asma',

"Demi Allah! Tentu ayahmu telah mengecewakanmu dengan hartanya, di samping akan menyusahkanmu dengan pemergiannya!".

Jawab wanita yang mulia ini, "Tidak wahai datuk! sekali-kali tidak! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami" ujarnya sambil menghibur dan menenangkan datuknya.


Dikumpulkannya batu-batu kerikil yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang tempat kebiasaannya menyimpan wang. Kemudian dibawakan datuknya yang buta itu ke tempat simpanan tersebut, lantas berkata,

"Lihatlah datukku! Beliau banyak meninggalkan wang buat kami!".

Perkataan tersebut ternyata berjaya meyakinkan Abu Quhafah. Maksud perbuatan tersebut adalah untuk menyenangkan hati datuknya, agar tidak bersusah hati memikirkan hal tersebut. Malah, Asma' juga tidak menginginkan bantuan dari orang musyrik meskipun datuknya sendiri. Inilah bukti yang menunjukkan besarnya perhatian beliau terhadap dakwah dan kepentingan kaum Muslimin.


Diberi jolokan sebagai "DZATUN NITHAQAIN" oleh Rasulullah yang membawa erti "wanita yang mempunyai dua tali pinggang", sebagai peringatan terhadap peristiwa Hijrah yang menyaksikan pengorbanan dan keberanian Asma' yang tiada tolok bandingannya. Beliau bersusah payah menyediakan bekalan makanan dan minuman buat Rasulullah dan Abu Bakar Radhiallahu anhu di saat genting seperti itu. Beliau mengoyakkan ikat pinggangnya kepada dua untuk dijadikan tali pengikat untuk mengikat bekalan makanan dan minuman tersebut, sehingga kerana peristiwa itu Rasulullah mendoakan beliau agar digantikan tali pinggang tersebut dengan yang lebih baik dan lebih indah di syurga kelak.


Tidak hanya itu pengorbanan Asma Radhiallahu anha. Peristiwa hijrah ini turut menyaksikan kekuatan berfikir dan perancangan strategi yang dimiliki oleh seorang Muslimah hasil dari aktiviti politik dan kecemerlangan berfikir yang diadun dengan ketaqwaan dan keimanan yang teguh. Asma' Radhiallahu anha bukan sekadar menjadi penghantar makanan kepada dua orang sahabat yang berperanan penting bagi umat Islam, malah beliau juga menyampaikan berita-berita penting tentang rencana-rencana pihak musuh terhadap kaum Muslimin.

Dengan kehamilannya ketika itu, Asma' mengambil peranan yang menjanjikan risiko tinggi, di mana bukan saja nyawanya menjadi taruhan, malah lebih dari itu, nyawa Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan ayahnya turut sama terancam. Memikirkan kemarahan musuh Islam lantaran lolosnya Rasulullah dari kepungan, kafir Quraisy pastinya akan berusaha bersungguh-sungguh mencari-cari Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam untuk dibunuh kerana bencinya mereka terhadap dakwah Islam dan pejuang-pejuangnya.


Di saat-saat genting seperti itu, Asma' mampu meramal segala kemungkinan yang bakal berlaku, dan dengan kecerdikan dan penuh perhitungan, beliau berjalan menuju Gua Tsur sambil menggembala kambing-kambingnya berjalan di belakangnya. Taktik ini dilakukan untuk mengaburi mata pihak musuh kerana jejaknya terhapus oleh jejak-jejak kambing gembalaannya itu. Tindakan ini belum tentu mampu dilakukan oleh seorang lelaki yang berani sekalipun, lantaran hal tersebut bakal mengundang bahaya, kezaliman, dan kekejaman orang-orang kafir Quraisy.


Permasalahan ini tidak cukup sampai di situ. Setelah kejayaan Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari tempat persembunyian dan berhasil berhijrah ke Madinah, Asma' Radhiallahu anha dan keluarganya didatangi beberapa orang Quraisy, di antaranya Abu Jahal yang telah bertindak kasar menampar pipi Asma’ Radhiallahu anha dengan sekali tamparan yang mengakibatkan subangnya terlepas!. Asma' menjawab dengan penuh diplomasi saat beliau ditanya tempat persembunyian Rasulullah dan ayahnya dengan berkata,

" Demi Allah, aku tidak tahu di mana ayahku berada sekarang!"


Hijrah Asma' Radhiallahu anha dan suaminya ke Madinah berlaku selang beberapa lama dari hijrah sebelumnya, di mana pada ketika itu Asma' sedang sarat mengandungkan Abdullah bin Zubair dan hanya menanti detik-detik kelahirannya. Perjalanan yang jauh dan berbahaya ditempuhi jua sehinggalah angkatan para sahabat tiba di Quba'. Kelahiran anak pasangan sahabat ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Dialah bayi pertama yang dilahirkan di Madinah.


Sebaik-baik Ummu wa Rabbatul Bait

Seorang muhajirah yang agung, antara wanita yang awal memeluk Islam, sangat memuliakan suaminya meskipun Zubair hanya seorang pemuda miskin yang tidak mampu menyediakan pembantu buatnya. Hatta tidak mempunyai harta yang dapat melapangkan kehidupan keluarganya, melainkan hanya seekor kuda yang dijaganya dengan baik. Beliaulah isteri yang sentiasa sabar dan setia berkhidmat untuk suaminya, sanggup bekerja keras merawat dan menumbuk sendiri biji kurma untuk makanan kuda suaminya di saat Zubair sibuk menjalankan tugas-tugas yang diperintah Rasulullah kepadanya.


Di dalam didikannya, keperibadian Abdullah bin Zubair dibentuk. Beliau adalah susuk seorang ibu yang sangat memahami peranannya dalam melahirkan generasi utama yang berkualiti, generasi yang menjadikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya di atas segala-galanya, sama ada harta, isteri, keluarga mahupun segala jenis perbendaharaan dunia. Beliau mencetak keperibadian generasi yang siap berjuang membela bendera Islam dan kalimah La ilaha illallah Muhammad Rasulullah.


Keperibadian seperti ini terpancar jelas di dalam diri puteranya, Abdullah bin Zubair. Hal ini dapat kita teladani melalui kisah pertemuan terakhir di antara seorang ibu dan anak yang saling menyayangi dan mencintai satu sama lain, semata-mata kerana kecintaan keduanya kepada Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya.


Abdullah: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, wahai ibunda!

Asma': Wa'alaikum salam warahmatullahi wabarakatuh, ya Abdullah! Mengapa engkau datang ke sini di saat-saat seperti ini? Padahal batu-batu besar yang dilontarkan Hajjaj kepada tenteramu menggetarkan seluruh Kota Mekah?

Abdullah: Aku hendak bermusyawarah dengan ibu.

Asma': Tentang masalah apa?

Abdullah: Tenteraku banyak meninggalkanku. Mereka membelot dariku ke pihak musuh. Mungkin kerana mereka takut terhadap Hajjaj atau mungkin juga kerana mereka menginginkan sesuatu yang dijanjikannya sehingga anak-anak dan isteriku sendiri berpaling daripadaku. Sedikit sekali jumlah tentera yang tinggal bersamaku. Sementara utusan Bani Umayyah menawarkan kepadaku apa saja yang ku minta berupa kemewahan dunia asal saja aku bersedia meletakkan senjata dan bersumpah setia mengangkat Abdul Malik bin Marwan sebagai khalifah. Bagaimana pendapatmu wahai ibu?

Asma': Terserah kepadamu Abdullah! Bukankah engkau sendiri yang mengetahui tentang dirimu? Jika engkau yakin bahawa engkau mempertahankan yang haq dan mengajak kepada kebenaran, maka teguhkanlah pendirianmu sepertimana para perajuritmu yang telah gugur dalam mengibarkan bendera agama ini! Akan tetapi, jika engkau menginginkan kemewahan dunia, sudah tentu engkau adalah seorang anak lelakiku yang pengecut! dan bererti engkau sedang mencelakakan dirimu sendiri dan menjual murah harga kepahlawananmu selama ini, anakku!


Abdullah: Akan tetapi, aku akan terbunuh hari ini ibu.

Asma' : Itu lebih baik bagimu daripada kepalamu akan dipijak-pijak juga oleh budak-budak Bani Umayyah dengan mempermainkan janji-janji mereka yang sangat sukar untuk dipercayai!


Abdullah: Aku tidak takut mati, Ibu. Tetapi aku khuatir mereka akan mencincang dan merobek-robek jenazahku dengan kejam!


Asma': Tidak ada yang perlu ditakuti perbuatan orang hidup terhadap kita sesudah kita mati. Kambing yang sudah disembelih tidak akan merasa sakit lagi ketika kulitnya dikupas orang!

Abdullah: Semoga Ibu diberkati Allah. Maksud kedatanganku hanya untuk mendengar apa yang telah ku dengar dari ibu sebentar tadi. Allah Maha Mengetahui, aku bukanlah orang yang lemah dan terlalu hina. Dia Maha Mengetahui bahawa aku tidak akan terpengaruh oleh dunia dan segala kemewahannya. Murka Allah bagi sesiapa yang meremehkan segala yang diharamkanNya. Inilah aku, anak Ibu! Aku selalu patuh menjalani segala nasihat Ibu. Apabila tewas, janganlah ibu menangisiku. Segala urusan dari kehidupan Ibu, serahkanlah kepada Allah!

Asma': Yang ibu khuatirkan andainya engkau tewas di jalan yang sesat.


Abdullah: Percayalah Ibu! Anakmu ini tidak pernah memiliki fikiran sesat untuk berbuat keji. Anakmu ini tidak akan menyelamatkan dirinya sendiri dan tidak memperdulikan orang-orang Muslim yang berbuat kebaikan. Anakmu ini mengutamakan keredhaan ibunya. Aku mengatakan semua ini di hadapan ibu dari hatiku yang putih bersih. Semoga Allah menanamkan kesabaran di dalam sanubari Ibu.

Asma': Alhamdulillah! segala puji bagi Allah yang telah meneguhkan hatimu dengan apa yang disukaiNya dan yang Ibu sukai pula. Rapatlah kepada Ibu wahai anakku, Ibu ingin mencium baumu dan menyentuhmu. Agaknya inilah saat terakhir untuk ibu memelukmu..."

Abdullah:Jangan bosan mendoakan aku Ibu!




“Ya Allah! Kasihanilah dia kerana solat yang panjang diselangi tangisan di tengah kedinginan malam yang sepi, ketika orang-orang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Ya Allah! Kasihanilah dia yang sering menahan lapar dan dahaga ketika bertugas jauh dari Madinah atau Mekah dalam menunaikan ibadah puasa kepadaMu. Ya Allah! Aku menyerahkannya di bawah pemeliharaanMu, aku redha dengan apa yang telah Engkau tetapkan bagiku dan baginya, dan berilah kami pahala orang-orang yang sabar...!"
[ Doa Asma' radhiallahu anha buat puteranya, Abdullah bin Zubair]


Sebelum matahari terbenam di petang itu, Abdullah bin Zubair syahid menemui Rabbnya. Dia kembali kerana mengutamakan redha Allah dan redha ibunya yang beriman. Diriwayatkan, bahawa Al-Hajjaj berkata kepada Asma' setelah Abdullah terbunuh :

"Bagaimanakah engkau lihat perbuatanku terhadap puteramu ?"

Asma' menjawab :"Engkau telah merosak dunianya, namun dia telah merosak akhiratmu."


Asma' wafat di Mekkah dalam usia 100 tahun, sedang giginya tetap utuh, tidak ada yang tanggal dan akalnya masih sempurna. [Mashaadirut Tarjamah : Thabaqaat Ibnu Saad, Taarikh Thabari, Al-Ishaabah dan Siirah Ibnu Hisyam]. Semoga Allah meredhai kedua hambaNya, Asma' dan puteranya.

Tuesday, October 19, 2010

Durrah Anak Yang Baik

DURRAH binti Abu Lahab adalah seorang anak yang baik. Abu Lahab adalah bapa saudara Nabi Muhammad. Nama sebenar bapa saudaranya itu adalah Abdu al-Izzi bin Abdul Muthalib.


Abu Lahab sangat benci terhadap Nabi Muhammad. Abu Lahab adalah musuh Islam yang utama. Ibu Durrah bernama Arwa binti Harb. Ibunya juga tidak suka kepada ajaran Islam. Ibunya juga tidak suka kepada Nabi Muhammad.


Pernah berlaku satu peristiwa Arwa sengaja meletakkan duri-duri di atas jalan yang selalu dilalui oleh Nabi Muhammad. Walaupun begitu Nabi Muhammad tetap sabar dengan tindakan Arwa itu.


Arwa sememangnya wanita yang ingkar terhadap Islam. Dia sanggup menghabiskan harta bendanya demi menghapuskan Nabi Muhammad sehingga dia dipanggil oleh Allah dengan nama Hammalat al-Hathab yang bermakna pembawa kayu bakar.


Durrah membesar dengan pelbagai rintangan dan cabaran. Dia sering melihat kekejaman yang dilakukan oleh bapanya terhadap orang Islam. Sikap angkuh kedua ibu bapanya menyaksikan bahawa keluarganya benar-benar mahu menghapuskan Islam.


Sikap angkuhnya terbukti apabila Nabi Muhammad mengajak Abu Labah beriman kepada Allah.


Abu Lahab berkata: “Sekiranya kata-kata Nabi Muhammad itu benar dan tidak salah, maka pada hari kiamat nanti saya akan tebus seluruh harta dan anak saya bagi menyelamatkan diri saya daripada seksaan api neraka”.


Jangkaan Abu Lahab bagi menyelamatkan dirinya daripada seksaan api neraka semuanya
meleset. Allah sudah berfirman dalam surah Asyura ayat 88 dan 89 yang bermaksud: Iaitu di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.


Ketika Durrah semakin membesar Allah memberi petunjuk kepada dirinya. Durrah juga sering mendengar kehebatan ajaran agama Islam yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.


“Saya percaya segala ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad adalah benar. Islam adalah agama yang patut dianuti oleh orang yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat,” kata Durrah sendirian.


Walaupun harta kekayaan bapanya melimpah ruah, Durrah tidak termakan dengan kata-kata penghinaan bapanya terhadap Islam. Harta benda bapanya itu tidak dapat menghalang tekadnya untuk memeluk agama Islam. Akhirnya Durrah memeluk agama Islam semasa dia berada di kota Mekah. Selepas memeluk Islam, dia berhijrah ke Madinah.


Meninjau kepada kehidupan rumahtangganya, dia berkahwin dengan Naufal bin al-Haris. Hasil perkahwinan itu mereka dianugerahkan tiga anak iaitu Uqbh, al-Walid dan Abu Muslim.


Suaminya terbunuh semasa perang Badar dan tidak sempat memeluk Islam. Selepas kematian suaminya itu, Durrah berkahwin pula dengan Dihyah al-Kalbi.


Semasa di Madinah, Durrah mendapat tentangan daripada sekumpulan wanita yang sama-sama berhijrah ke Madinah.


Seorang wanita daripada Bani Zuraiq berkata kepada Durrah: “Awakkah anak Abu Lahab yang kejam itu?” Mengapa awak ikut kami berhijrah? Tidak ada faedahnya awak ikut kami berhijrah. Malah hijrah awak tidak mendatangkan manfaat bagi diri awak”.


Lalu Durrah menjawab: “Saya berhijrah bagi mendekatkan diri saya kepada Allah. Awak tidak patut berkata begitu terhadap saya. Memang benar bapa saya jahat dan kejam terhadap orang Islam. Tetapi saya tidak seperti bapa saya”.


Durrah agak sedih lalu meninggalkan wanita Bani Zuraiq itu. Kemudian dia berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia menceritakan segala apa yang berlaku kepada Nabi Muhammad.

“Bertenanglah wahai Durrah,” kata Nabi Muhammad.


Selepas Nabi Muhammad selesai mengerjakan sembahyang, baginda berkata kepada orang Islam yang berada di tempat itu: “Dengar sini semua. Saya tidak akan membenarkan keluarga saya diseksa atau disakiti oleh sesiapa. Kaum keluarga saya akan dapat syafaat daripada saya pada hari kiamat kelak”.


Mendengar kata-kata Nabi Muhammad, wanita Bani Zuraiq itu menjadi insaf dan sedar atas kesilapannya menyinggung perasaan Durrah.


Wanita Bani Zuraiq itu pun berjumpa dengan Durrah dan berkata: “Wahai Durrah saya minta maaf di atas segala kekasaran bahasa yang saya ucapkan kepada awak tempoh hari. Saya sebenarnya tidak menyangka bahawa awak adalah seorang gadis yang berhati mulia. Awak tidak seperti Abu Lahab yang kejam itu. Maafkan saya”.


Durrah menerima kata-kata wanita Zuraiq tersebut dan berkata: “Saya maafkan awak. Semoga persahabatan kita kekal dan diberkati Allah”.


Sejarah Islam menyatakan bahawa, Durrah merupakan srikandi yang berbakat besar. Dia adalah seorang penyair daripada kalangan wanita Quraisy. Sepanjang hayatnya dia melaporkan sebanyak tiga buah hadis daripada Nabi Muhammad.


Selain itu, dia merupakan wanita yang pandai menghasilkan karya sastera. Durrah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 20 Hijrah.


nPetikan daripada buku Bidadari Syurga terbitan PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sunday, October 10, 2010

Umaimah Mendapat Suami yang Syahid

UMAIMAH binti Khalaf adalah seorang srikandi yang penyabar. Dia adalah isteri seorang pahlawan Islam yang bernama Khalid bin Said bin al-Ash. Umaimah dan suaminya adalah pasangan suami isteri yang sama padan. Mereka sanggup melalui pelbagai rintangan hidup. Sudah dan senang, Umaimah tetap bersama suami tercinta.



Pada suatu malam, suaminya mengalami satu mimpi yang aneh. Pada keesokan harinya, suaminya menceritakan mimpi itu kepadanya. Khalid berkata: "Malam tadi saya bermimpi. Saya lihat ada satu unggun api yang begitu besar. Nyalaan api itu begitu panas sehingga boleh membakar diri orang yang terkena api itu." Khalid menyambung lagi: "Kemudian, ayah saya datang menghampiri saya. Ayah meminta saya masuk ke dalam nyalaan api yang besar itu."


Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya dengan teliti. Kemudian, dia bertanya kepada suaminya: "Apakah yang berlaku selepas itu?" Khalid menjawab: "Saya hampir-hampir masuk ke dalam api yang besar itu. Tiba-tiba saya merasa diri saya ditarik dari belakang. Saya tidak dapat melangkah ke arah unggun api itu. Kemudian saya menoleh ke belakang, alangkah terkejutnya saya apabila melihat Nabi Muhammad yang menarik baju saya."


"Begitukah kesudahan cerita mimpi awak?", tanya Umaimah. Khalid menyambung lagi: "Saya melihat Nabi Muhammad terus menarik saya jauh dari unggun api itu. Saya tahu tindakan Nabi Muhammad adalah bagi menyelamatkan saya daripada terkena api yang besar."


Selepas Umaimah mendengar cerita mimpi suaminya, dia pun berkata: "Abu Bakar as-Siddiq adalah orang yang pandai mentafsir mimpi. Awak bertanyalah dengannya." "Betul juga kata awak," ujar suaminya.


Khalid bergegas ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a. Sampai sahaja di sana, Khalid menceritakan mimpinya. Lalu, Abu Bakar menjawab: "Anda begitu bertuah kerana mengalami mimpi itu. Mimpi itu adalah petanda baik bagi anda. Nabi Muhammad menyelamatkan anda daripada terpengaruh dengan ajakan ayah anda. Masuklah Islam. Islam menyelamatkan anda daripada seksaan api neraka."


Khalid memahami maksud Abu Bakar. Khalid berkata, "Terima kasih kerana membantu saya mentafsirkan mimpi itu. Saya akan berjumpa Nabi Muhammad". Lalu Khalid bergegas berjumpa Nabi Muhammad SAW. Sampai di hadapan Nabi Muhammad, Khalid mengucapkan dua kalimah syahadah. Khalid sudah memeluk agama Islam.


Khalid gembira kerana dia sudah memeluk Islam. Berita keislaman dirinya disampaikan kepada isteri tercinta. "Wahai isteriku, saya sudah tahu makna mimpi itu" kata Khalid kepada Umaimah. "Apakah yang diberitahu oleh Abu Bakar tentang mimpi awak itu?," tanya Umaimah. "Jawapannya sekarang ialah saya sudah memeluk agama Islam. Saya akan terus mempelajari agama Islam daripada Nabi Muhammad," jawab Khalid.


"Betulkah apa yang awak katakan ini?," tanya Umaimah tidak sabar-sabar mendapat pengesahan keislaman suaminya. "Ya, benar. Saya sudah menjadi orang Islam," kata Khalid. "Saya juga mahu menjadi orang Islam seperti awak. Saya mahu berjumpa Nabi Muhammad. Bawalah saya berjumpa Nabi Muhammad," kata Umaimah kepada suaminya.


Akhirnya, Umaimah dan suaminya memeluk agama Islam. Kemudian, mereka berhijrah ke Habsyah selepas mendapat tentangan daripada kaum Quraisy Mekah. Semasa di Habsyah, mereka hidup dengan aman dan damai.


Umaimah didapati hamil. Dia selamat melahirkan anaknya di Habsyah. Selama dia dan suaminya tinggal di Habsyah, mereka dikurniakan dua orang anak. Anak-anaknya bernama Said bin Khalid dan Amah binti Khalid.



Pada suatu hari, tiba masanya pasukan tentera Islam pergi berperang di negeri Syam. Khalifah Abu Bakar as-Siddiq r.a. mengarahkan Syaruhbil bin Hasan menakluk negeri Syam. Khalid bergabung dengan pasukan tentera yang diketuai oleh Syaruhbil bin Hasan.


Semasa dalam pertempuran itu, Khalid mati syahid. Berita kematiannya diketahui oleh isterinya. Isterinya menerima berita kematian suaminya dengan redha dan sabar.

Friday, October 8, 2010

Arwa Mendapat Cahaya Islam

ARWA binti Kuraiz adalah ibu kepada Khalifah Usman bin Affan. Arwa berkahwin dengan Affan bin Abi al-Ash. Hasil perkahwinannya, dia mendapat dua orang anak iaitu Usman dan Aminah. Dia adalah srikandi yang terkenal dengan sifat dermawan, murah hati dan menghormati orang lain.


Arwa adalah anak daripada hasil perkahwinan Ummu Hakim binti Abdul Mutalib dan Kuraiz bin Rabiah. Arwa mempunyai empat adik-beradik yang bernama Amir, Arwa, Talhah dan Ummu Talhah.


Selepas Arwa kehilangan suaminya iaitu Affan, dia dilamar oleh Uqbah bin Abu Muith. Perkahwinan mereka mendapat enam orang anak iaitu Wahid, Imarah, Khalid, Ummu Kalsum, Ummu Hakim dan Hindun.


Arwa adalah ibu yang baik. Dia adalah srikandi yang memainkan peranan penting semasa Usman mahu memeluk agama Islam. Uqbah bin Abi Muith benci kepada Nabi Muhammad dan orang Islam. Uqbah mendapat tahu Usman sudah berjinak-jinak dengan agama Islam. Uqbah menjadi semakin marah, lalu berjumpa Arwa.


"Awak tahukah apa yang anak awak lakukan sekarang?" tanya Uqbah kepada Arwa.


"Mengapa awak tanya begitu? Apakah kesalahan yang Usman lakukan kepada awak?" tanya Arwa pula.


Yakin

Suami menjawab dengan pantas, "Untuk pengetahuan awak, Usman sekarang sudah besar kepala. Dia tidak hiraukan nasihat saya lagi. Usman sedang sibuk dengan agam Islam. Dia cuba mempermainkan agama nenek moyang kita".


Arwa hanya mendengar cerita suaminya, Kemudian suaminya berkata lagi, "Awak tidak malukah dengan perangai Usman itu? Anak awak sibuk membantu Nabi Muhammad menyebarkan agama Islam. Awak tidak malukah anak awak memuji dan mengagung-agungkan Nabi Muhammad dan agama Islam?"


Lantas Arwa menjawab pertanyaan suaminya, "Mengapa saya hendak malu dengan anak saya. Usman buat perkara baik. Nabi Muhammad mengajar dia perkara yang baik-baik".


Uqbah meluat mendengar Arwa memuji Nabi Muhammad dan agama Islam. Arwa berkata lagi, "Usman adalah anak yang baik. Dia tidak pernah melawan dan membantah kata-kata saya. Sejak dia mengikut ajaran Nabi Muhammad, sikapnya menjadi semakin baik. Biarkan dia mengikut Nabi Muhammad. Saya juga suka dengan cara Nabi Muhammad".


Uqbah naik berang lalu berkata: "Awak memang degil. Awak sengaja biarkan anak awak rapat dengan Nabi Muhammad. Saya tidak akan beri sebarang pertolongan kepada awak sekiranya Nabi Muhammad dan pengikutnya mengapa-apakan awak".


"Tidak mengapa Uqbah. Saya yakin Nabi Muhammad itu baik hati," kara Arwa pula.


Uqbah menjadi semakin marah, lalu meninggalkan Arwa sendirian. Kemudian, Usman pulang ke rumah. Dia melihat wajah ibunya. Arwa pun menghampiri anaknya.


Arwa pun berkata, "Bapa tiri awak sudah tahu awak bergiat aktif dengan agama Islam. Awak jangan bimbang, ibu akan cuba pertahankan awak daripada diapa-apakan oleh bapa tiri awak itu".


Pada masa itu, Arwa dan suaminya belum memeluk agama Islam. Mereka masih menganut agama nenek moyang mereka. Usman begitu gembira mendengar ibunya menyokong kuat penglibatannya dalam agama Islam.


Usman pun berkata kepada ibunya, "Wahai ibu yang saya sayangi, marilah sama-sama kita menerima agama Islam. Islam adalah agama yang baik dan benar. Ibu akan selamat di dunia dan di akhirat apabila ibu menjadi Islam".


Arwa begitu terharu mendengar penjelasan anal lelakinya itu. Kemudian, dia berkata kepada anaknya, "Wahai Usman, ibu bangga dengan diri awak. Ibu juga tertarik dengan agama Islam. Mulai pada hari ini, ibu mahu menjadi orang Islam."


Usman begitu gembira mendengar berita daripada ibunya itu. Arwa kemudiannya berjumpa Nabi Muhammad dan memberitahu kepadanya tentang niatnya itu. Arwa mengucap dua kalimah syahadah. Arwa sah menjadi seorang Islam.


Bertuah


Selepas itu, Arwa berhijrah ke Madinah. Anak perempuannya yang bernama Ummu Kalsum juga memeluk Islam dan berhijrah ke Madinah. Menurut sejarah Islam, semasa Perang Badar, Uqbah ditawan lalu dibunuh oleh tentera Islam.

Arwa begitu bertuah kerana menjadi ibu kepada Usman bin Affan. Dia begitu dihormati oleh Nabi Muhammad. Dia adalah ibu mentua yang baik kepada puteri Nabi Muhammad iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalsum.

Arwa meninggal dunia ketika umurnya 90 tahun iaitu pada tahun 5 Hijrah. Usman begitu sedih dengan kematiannya.

Usman bersembahyang di masjid sendirian. Semasa dia bersujud, dia berdoa kepada Allah, "Ya Allah, ampunilah dosa ibu saya. Saya begitu sayang kepada ibu. Ya Allah, kasihanilah dan sayangilah ibu saya. Tempatkan ibu saya dalam golongan orang yang baik-baik".