Sunday, May 1, 2011

Bahagianya Mereka

Ini kisah mereka.. kisah cinta yang insyaAllah membawa ke syurga.


Kata mak..


Mak abah berjumpa di program. Program akhir tahun siswa siswi universiti. Kata mak, ketika itu mak sedang menuruni tangga, dan terpandang abah. ...Itulah kali pertama mereka berjumpa mungkin. Cinta pandang pertama.


Mak muslimah yang solehah, beriman. Bertudung labuh dan berjubah lembut. Mak mempunyai wajah yang indah subhanAllah. Cantik dan menyenangkan. Mak pernah dipinang, malah beberapa kali. Alhamdulillah, mak senantiasa bergantung pada Allah. Setiap pinangan, mak akan istikharah. Pernah hadir sebuah pinangan untuk mak, yang mak istikharah ke atasnya. Dan kata mak.. "Mak mimpi mak pakai pakaian pengantin.. indah.. tapi mak pelik.. kenapa baju pengantin mak tak habis dijahit.. tak lengkap.." Dan pinangan abah datang. Hadir, Seakan angin yang menyampaikan sinar bahagia yang menenangkan.. dan pada Allah, mak bergantung harap. Mak sekali lagi istikharah. Dan Allah mengurniakan. Juga tanda dalam mimpi. Mak lihat.. "Mak sembahyang,. mak solat.. dan abah.. abah yang menjadi imam.. abah yang menjadi pemimpin.."


Cerita mak sambil tersenyum.. Dengan redha, mak menerima, dengan cita-cita menjadi isteri yang solehah. Alhamdulillah. Aku pernah melihat surat mak pada abah semasa pertunangan. Surat cinta dahulu kala. Aku tersenyum. Hehe. Membahagiakan. Aku pernah melihat buku haraki yang dihadiahkan mak pada abah, dengan kata-kata semangat seorang muslimah kepada mujahid. Agar terus tetap dalam perjuangan. Oh, bahagianya.. Mak selalu cerita tentang kenangan manisnya..


Dulu, ketika mak mengidam mengandungkan anak sulungnya, iaitu aku, mak pernah teringin untuk makan buah, dan abah belikan 2 bekas besar khas untuk mak. Ketika mak dalam pantang dan terasa meikmati keindahan minuman, abah hadir dengan satu jug besar. Cerita mak sambil tersenyum. Dan begitulah abah, terlalu baik. Amat baik. Dan hidup mak senantiasa bersama abah. Mak kadang-kadang sakit. Pernah mak pengsan dua kali. Pernah mak memasuki wad. Pernah kami sekeluarga mengalami detik-detik yang amat mensyahdukan. Abah pangku mak, dan abah menangis. Aku sebak melihat abah menangis. Dan aku tak pernah melihat abah menangis seperti itu sebelum ini. Dan abah, benar-benar menjaga mak dengan sepenuh jiwa dan raga.


Cerita mak..


ketika sama-sama menunaikan haji. Ketika semua jemaah sudah pulang, abah masih belum pulang walaupun sudah 2 jam berlalu. Mak risau. Dan kelihatan abah.. "Abang ke mana? Risaunya ani.." "Abang buat tawaf, dua kali.. satu untuk abang, dan satu untuk ani.." kata abah sambil tersenyum. Mak terharu, biasanya tawaf setengah jam. Tapi disebabkan ramai orang, jadi sejam. Dan abah sanggup buat untuk mak. Abah dan mak selalu berlumba untuk beribadah.. "Abang buat solat sunat tasbih lagi banyak daripada ani.." "Isk, ani tak boleh sembahyang boleh lah abang potong.." Dan abah hanya ketawa. Dalam sunat tasbih, dalam solat tahajjud, dan pelbagai perkara. Di rumah ada sebuah buku. Amalan harian di bulan ramadhan, amalan setiap hari. Dan abah dan mak selalu berebut untuk buku tersebut. Selalu bertukar tangan.


Pernah mak tanya, "Abang suka ani marah-marah, tapi sihat ke.. atau ani diam, tapi ani sakit.." "Tentulah abang suka ani sihat, walaupun marah-marah.." jawab abah.. Dan bila mak teringinkan sesuatu, abah akan usaha membahagiakan mak. Abah seorang tukang masak yang baik. Amat baik. Dan abah selalu membanggakan mak. Ke mana mak pergi, mak bangga bila orang berkata. Dan selalu berkata. "Beruntung Ani dapat suami macam tu.." Mak gembira.


Kadang-kadang mak pening kepala. Abah akan belai kepala mak. Bacakan ayat al-quran dengan penuh kasih sayang. Dan itu amat menenangkan mak.. Pernah mak berkata.. "Abah terlalu baik, amat baik.. Sehinggakan mak penah terfikir, jika abah mengimpikan untuk berkahwin baru. Mak akan izinkan, mak akan benarkan.. Abah terlalu baik, dan mak senantiasa inginkan kebahagiaan abah.." Dan abah selalu membanggakan mak, hingga saat terakhir. Hingga abah kini, Sudah tiada.


Pergi untuk bertemu cinta agungnya.. Abah membanggakan mak dengan senyuman manisnya walaupun abah sudah tiada. Senyuman yang meredakan tangisan kami. Abah membanggakan mak dengan pujian sahabat abah kepada jenazah. Mak sedih, terlalu sedih. Mak peluk dan belai abah. Ketika tangisan mak mereda. Mak berkata.. "Senyuman abah sinis, seperti senyumannya selalu untuk mengusik mak.." Mak seakan tak lalu makan. Dan aku cuba menyuap. Mak menahan sambil menangis. "Jangan suap mak, mak akan teringatkan abah.." Mak tak boleh mendengar deringan telefon. "Mak berharap sangat yang telefon tu abah.."


Mak terus menangis.. Sebentar mak tersenyum. "Abah terlalu baik, sehinggakan nak mencari keburukan, susah sangat.. kecuali satu.. suara abah yang tak sedap.. Itupun mak rindukan sangat suara tu..." ujar mak.. Menarik nafas. Dalam. Amat dalam. "Nadwan, mak perlu kuat kan? Sebab abah dah pergi dengan baik sangat. Jadi mak kena gembira. Mak kena gembira bila abah gembira. Abah, dah bahagia sangat hingga senyum begitu sekali. Mak juga nak jadi macam abah. Mesti abah dan dapat bidadari yang cantik-cantik kan?Agak-agak abah ingatkan mak lagi tak?.. " Mak terus tersenyum. "Mak nak buat ibadah banyak-banyak.. mak nak jadi macam abah.. mak nak masuk syurga sama-sama... sampai nanti.. insyaAllah.. mak nak jadi ketua bidadari untuk abah di syurga nanti..." Dan hati seorang isteri terus tabah. Mendamba penuh harapan dalam tangisan penuh kerinduan...


Mudah-mudahan kita juga boleh menjadi macam mereka....

4 comments:

She Kin said...

sweet.... =)

Harris Haiqqal said...

Tahniah, sebuah cerita yang sgt syahdu.. Moge menjadi contoh ikutan utk kita semua =)

إبتسام فاهمة الدين said...

amin.. yakinlah.. "lelaki yg baik adalah utk perempuan yg baik".. jom sama2 baikkan diri ^_^

BicaraHati said...

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)
Itulah janji Allah S.W.T buat semua manusia. Seandainya kita menginginkan isteri atau suami yang baik, kita haruslah terlebih dahulu menjadi seorang yang baik.INSYAALLAH...:D