Jamu Mata : Muslimah Attires
Thursday, July 1, 2010
Wanita, Cinta Dan Doa
Wanita, Cinta Dan Doa
Perasaan cinta, kasih dan sayang ada dalam hati setiap orang, tetapi cara mempamerkan cinta tidak sama antara seorang dengan seorang yang lain. Dan berbeza juga antara satu bangsa dengan satu bangsa yang lain.
Namun sesuatu yang pasti-perasaan cinta dan sayang selalunya terpamer melalui sikap dan kata-kata. Sebuah syair arab mengungkapkan," Tanda-tanda cinta tidak dapat disembunyikan oleh seseorang laksana pembawa kasturi tidak dapat menyembunyikan keharumannya"
Rasa sayang seorang suami terhadap isteri akan terpamer pada sikap dan kata-kata yang natural bersahaja. Begitu juga sebaliknya.Ini bermakna, pasangan suami isteri tidak perlu berlakon di depan ramai untuk memperlihatkan perasaan saling menyayangi.
Mereka tidak perlu berjalan berpimpin tangan, berpelukan, atau berkucupan di khalayak ramai untuk memberitahu orang bahawa mereka adalah pasangan bahagia dan saling mencintai. Cara itu bukan sahaja tidak sesuai dengan akhlak Islam, malah menyalahi etika budaya timur.
Biarpun begitu, perasaan cinta suami isteri perlu disuburkan. Demikian juga perasaan sayang ibu bapa dan anak-anak. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya : Sesiapa yang tidak menyayangi tidak akan disayangi"
Perasaan sayang letaknya di hati, tetapi ia boleh disuburkan melalui tindakan lahit dan kata-kata.
Senyuman mesra isteri menyambut kepulangan suami sudah cukup mengambarkan perasaan cinta dan sayang yang tidak berbelah bahagi. Jika dijadikan amalan harian, nescaya cinta akan subur seperti tanaman yang disiram baja secara berterusan mengikut aturan.
Kucupan suami pada dahi isteri yang mengiringinya ke pintu sebelum si suami melangkah keluar ke tempat kerja sudah memadai untuk mencerminkan rasa hormat dan cinta yang bersemi dihati. Dan rasa hormat dan cinta itu akan subur sekiranya dibajai selalu.
Ini bukti bahawa cinta itu terlalu seni. Tidak ada perlakuan dan kata-kata yang tepat untuk mengungkapkan seluruh perasaan cinta seseorang terhadap orang yang dicintainya. Lain orang. lain cara ungkapan dan luahan rasa cintanya.
Walaupun ungkapan " Aku mencintaimu" ( I LOVE YOU ) selalu diungkapkan oleh pasangan kekasih atau suami isteri di layar perak, namun dalam realiti kehidupan, pelbagai bentuk sikap dan ungkapan lain digunakan untuk membawa maksud yang sama. Perhatikan ungkapan-ungkapan ini sekadar contoh:-
" Cantik Ana tengok abang pakai baju ni"
" Abang memang minat laksa, tapi kalau Mah yang masak, lagilah abang berselera makan"
" Nah, abang bawa buah tangan ni untuk Ton dan anak-anak"
" Hati-hati memandu ya, bang...."
Demikian antara ungkapan-ungkapan indirect yang mencerminkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri.
Namun begitu, jika mengungkapkan rasa cinta secara langsung dan terus terang sudah menjadi budaya atau kemestian bagi sesuatu bangsa, maka tidak salah ungkapan " Aku mencintaimu:" menjadi basahan bibir suami isteri.
Dari mata turun ke hati. Ini merupakan ungkapan yang mengambarkan peranan mata untuk jalinan cinta. Justeru, jangan harapkan cinta akan subur jika pasangan suami isteri selalu mengelak untuk bertentang mata bila berbicara.
Antara bukti cinta ialah adanya ingatan pada orang yang dicinta. Dan tanda seseorang itu ingat akan sesuatu atau seseorang lain ialah dia selalu menyebut-nyebutnya.
Rasulullah s.a.w mengungkapkan kata-kata berikut kepada Sayidatina Aisyah r.ha untuk mengambarkan ingtaan dan perasaan sayangnya kepada isteri baginda Sayidatina Khadijah r.ha yang telah wafat.:
" Khadijah mencintaiku disaat aku sengsara. Khadijah beriman kepadaku pada waktu orang lain tidak percaya dan menganggapku gila. Khadijah memberikan banyak sekali pengorbanan untukku ketika orang lain memusuhiku. Patutkah aku melupakan perempuan seagung itu walaupun misalnya dia bukan isteriku? Dan dia adalah isteriku dan ibu kepada anak-anakku.
Dalam meluah dan mempamerkan rasa cinta, batas yang diperaturkan oleh Islam ialah perlunya ada rasa malu. Adanya rasa malu merupakan cermin iman di hati. Perasaan malu menghalang luahan cinta di luar batasan. Disebabkan hilang atau kurang rasa malu, pasangan-pasangan di barat mempamerkan rasa cinta dengan perlakuan yang tidak bermoral.
Perasaan malu juga menjadi benteng untuk imbangan diri tatkala mengalami gelodak cinta yang tidak kesampaian.
Seorang gadis yang menyimpan rasa cinta pada seorang teruna tidak akan bertindak di luar batasan jika ada perasaan malu di hati. Dia percaya, cinta seumpama itu hanya dapat disuburkan melalui ikatan perkahwinan. tetapi jika bukan jodohnya, dia rela menjadi scret admirer kepada si teruna dan rasa cinta itu satu waktu akan hilang dengan sendirinya bila Allah pertemukan jodohnya dengan teruna lain.
Dalam hubungan cinta antara ibubapa dan anak-anak, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa ibu lebih penyayang dari bapa dan doa orang yang penyayang tidak sia-sia. Ertinya, Allah Yang Maha Penyayang memakbulkan doa orang yang penyayang jika dia berdoa untuk orang disayanginya.
Ini merupakan kelebihan yang dimiliki oleh wanita yang bergelar ibu. Sebab itu dikatakan bahawa doa ibu sangat makbul. Bahkan sumpah seranah seorang ibu dikira sebagai doa !.
Dengan kekuatan cinta, seorang wanita dapat membentuk dan mendidik anak-anaknya ke arah yang diredhai Allah.
Sebaik-baik didikan ialah yang dimulakan dengan mengenalkan anak kepada Tuhan hingga si anak dapat belajar mencintaiNYA. Tetapi belaian, asuhan dan didikan seorangn ibu tidak mencukupi jika tidak disertakan dengan doa yang berterusan.
Doa adalah tanda ingatan kita pada Pencipta. Dan doa juga merupakan bukti cinta hamba pada Tuhannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment